mutakhir

Bapak, anak dan dadah..

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

POLIS menahan tiga lelaki termasuk dua beranak dan merampas 139 gram dadah dalam dua serbuan berasingan di Kampung Bendang, Selising, semalam dan Kampung Changgai, Bukit Yong, Pasir Puteh, hari ini.

Dua beranak iaitu ayah berusia 61 tahun dan anak 30 tahun ditahan 11.45 pagi semalam di sebuah rumah serta seorang lelaki berusia 19 tahun ditangkap 12.15 tengah malam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, rampasan pelbagai jenis dadah itu bernilai RM26,610.

Serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai sebelum sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh membuat operasi.

“Ketika mahu menahan, tiga lelaki itu cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditangkap.

“Serbuan pertama menemui dadah heroin, methamphetamine dan ganja seberat 97 gram daripada lelaki berusia 61 tahun. Pemeriksaan lanjut menjumpai dadah jenis syabu seberat 32 gram daripada anak lelaki itu.

“Manakala serbuan kedua menahan lelaki 19 tahun dan dadah methamphetamine seberat 10 gram dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai mengedar dadah untuk pasaran Pasir Puteh dan kawasan sekitar.

Kesemua suspek tidak bekerja dan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12 (2), Seksyen 39A (2) dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dua beranak itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan dan seorang lagi lelaki direman selama empat hari bermula hari ini.

“Kita minta orang ramai memberi kerjasama menyampaikan maklumat untuk mengekang gejala pengedaran dan penagihan dadah,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 6:02pm
d