mutakhir

'Dia ragut rantai pemberian ibu' [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

NAK ke balai polis buat laporan adik ipar hilang, rantai leher pemberian ibu sempena hari lahir diragut pula.

Itu nasib wanita yang mahu dikenali sebagai Shida, 24, Selasa lalu.

Menurutnya, rantai emasnya diragut ketika menunggu teksi bersama adiknya di stesen minyak Taman Muhibbah, Seri Kembangan, Serdang.

"Saya dari rumah menaiki bas, namun tiada bas berhenti berdekatan balai polis di Serdang menyebabkan saya berhenti di stesen minyak itu.

"Ketika itu, saya nampak ada teksi yang sedang mengisi minyak dan membuat keputusan untuk naik teksi ke balai polis," katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, ketika berbual dengan pemandu itu, dia didatangi lelaki yang menunggang motosikal dari arah belakang.

"Saya tak sedar lelaki itu tiba-tiba datang tarik rantai pemberian ibu saya sempena hari lahir.

"Saya tak dapat mengecam nombor plat motosikal kerana dibungkus dengan plastik hitam," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Susulan itu dia membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa dan sedang menjalankan siasatan.

"Kes sudah disiasat dan mendapati tiada sebarang petunjuk kerana nombor motosikal tidak dapat dilihat. Bagaimana pun, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang akan cuba mengesan dan pertingkat lagi rondaan pencegahan jenayah," katanya.

Selasa lalu, tular video berdurasi 35 saat apabila lelaki yang menunggang motosikal meragut wanita yang sedang berbual dengan pemandu teksi di stesen minyak.

Lelaki berkenaan berpatah balik selepas melihat wanita itu sedang berbual di lokasi kejadian sebelum meragut rantai leher mangsa bernilai RM900.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 6:34pm
d