mutakhir

Tiada lagi pegawai SPRM di agensi kerajaan

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan unit pemantauan khas bagi memantau isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa di agensi kerajaan yang berisiko tinggi, sederhana dan rendah.

Menurut kenyataan SPRM, perkara berkenaan susulan laporan mengenai Pegawai Integriti Bertauliah SPRM yang akan digantikan oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di unit integriti agensi kerajaan.

"Tindakan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) baru-baru ini.

"Selaras dengan fungsi pencegahan di bawah akta SPRM, suruhanjaya ini akan terus memastikan tadbir urus agensi kerajaan bebas daripada isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa dari semasa ke semasa," kata kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, SPRM menegaskan, penubuhan JITN tidak akan sama sekali menjejaskan fungsi dan tanggungjawab suruhanjaya itu dalam usaha untuk memastikan agensi kerajaan bebas daripada isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

Pada 25 September lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan JITN sebagai langkah menaik taraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) sedia ada.

Keputusan itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan pada Siri Dialog TN50: Melangkah ke Hadapan Meneruskan Agenda Integriti Negara, bersama Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI).

#kw SPRM, JITN, unit pemantauan khas, rasuah dan salah guna kuasa

#loc 2.926361, 101.696445

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 9:05pm
d