mutakhir

Bina lima lagi kolej komuniti

Oleh Zulfa Mohamad

LIMA lagi kolej komuniti akan dibina tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan pusat pendidikan berkenaan mencecah 100 buah di seluruh negara.

Ketika ini terdapat 95 kolej komuniti yang menyediakan pelbagai bidang kemahiran dan enam daripadanya di Pulau Pinang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kolej komuniti baru dijangka dibina di Kelantan, Perak dan Terengganu bagi memperkasakan bidang pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).

Beliau berkata, lokasi sesuai untuk pembinaan kolej baru akan dikenal pasti dan jika tiada tapak, bangunan tertentu akan disewa untuk tujuan berkenaan.

"Ketika ini peranan kolej komuniti sangat penting kerana kerajaan memberi tumpuan pada TVET bagi menghadapi cabaran Revolusi 4.0 iaitu penggunaan robotik dalam industri," katanya selepas merasmikan bangunan baru Kolej Komuniti Tasek Gelugor di Kampung Selamat, hari ini.

Kolej berkenaan dibina pada 2015 bagi menggantikan bangunan di Teluk Air Tawar yang disewa.

Kolej berkenaan mempunyai 92 pelatih yang mengikuti pengajian bidang pastri dan teknologi penyejukan dan penyaman udara.

Selain dua bidang itu, kolej komuniti lain menawarkan bidang fesyen, animasi dan teknologi kereta hibrid.

Idris berkata, walaupun Kolej Komuniti Tasek Gelugor akan beroperasi di tempat baru, bangunan yang disewa di Teluk Air Tawar akan dikekalkan bagi pengajian kursus jangka pendek.

Foto Ramdzan Masiam

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 9:46pm
d