mutakhir

'Terasa juga sedikit semput...'

Oleh Najiy Jefri

Meskipun sarat hamil tujuh bulan, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza bersyukur proses rakaman single terbaru berjudul Comel Pipi Merah berjalan lancar.

Siti ketika dihubungi berkata, lagu yang didedikasikan khas sempena kelahiran bakal puteri sulungnya pada Mac ini tidak mengambil masa lama.

"Saya menjangka proses rakaman akan mengambil masa sehingga empat jam, tetapi alhamdulillah semuanya selesai dalam tempoh sejam saja.

"Namun terasa juga sedikit semput, maklum sajalah usia kandungan saya sudah lebih tujuh bulan,"katanya.

Menurut Siti, lagu yang dicipta sendiri dan lirik oleh Rozi Sangdewi itu sesuatu yang cukup istimewa kerana mengandungi elemen yang membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanaknya.

"Saya dapat melodi lagu ini ketika mengimbau kembali sewaktu arwah abah yang gemar mengagah anak kecil dan cucu-cucunya dengan melodi yang seringkali saya dengar dari mulutnya.

"Bunyi keramat itu saya abadikan dalam lagu ini selain menggabungkan lagu rakyat, Can Mali Can, tetapi diolah mengikut kesesuaian.

"Sengaja saya buat begini supaya mudah diingati dan diikuti oleh mereka yang mendengar," katanya single terbabit bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Lebih menarik, Siti turut mengundang dua anak saudaranya, Siti Nurun Marsitah Mohd Ghazali, 12, dan Puteri Siti Nurinsyirah Damia Saiful Bahri, 11, untuk mengiringi nyanyiannya.

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Cindai itu merakamkan lagu berkenaan di Nomad Studio, Kuala Lumpur semalam.

Siti sebelum ini mendedahkan jantina bayinya adalah perempuan ketika sambutan ulang tahun kelahirannya ke-39 baru-baru ini.

 

 

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 11:42pm
d