mutakhir

Tahu tapi sengaja...

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

TAHU ada papan tanda tempat letak kereta, namun sengaja tidak mahu meletakkan kenderaan di situ antara alasan diterima polis daripada segelintir pengguna yang meletakkan kenderaan di bahu jalan dan kawasan larangan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Pengguna terbabit bukan saja mereka yang menunggu untuk mengambil orang di lapangan terbang, malah difahamkan ada dalam kalangan pekerja dan kakitangan bertugas di KLIA dan klia2 turut berbuat demikian selain pemandu bas persiaran.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, di sekitar kawasan terminal KLIA dan klia2, jelas diletakkan papan tanda larangan memberhentikan kenderaan di kawasan itu namun pengguna masih berdegil.

"Mereka sengaja tidak mahu masuk ke tempat letak kenderaan yang disediakan dan ini berpunca daripada sikap pengguna sekali gus orang ramai patut lebih berdisiplin. 

"Tindakan mereka menunggu di situ boleh mengundang kemalangan selain mengganggu lalu lintas dan perjalanan pengguna lain yang menggunakan laluan untuk ke terminal KLIA dan klia2," katanya kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan dan halangan lalu lintas sekitar lapangan terbang KLIA dan klia2, Sepang.

Operasi yang bermula jam 9 malam itu membabitkan kawasan laluan sering dijadikan tempat menunggu seperti di hadapan stesen minyak sebelum susur masuk ke klia2, laluan masuk ke terminal ketibaan di KLIA dan klia2 selain laluan masuk bas di KLIA.  

Pada masa sama, Zulkifli berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,308 kes kemalangan dilaporkan di sekitar lapangan terbang dengan empat daripadanya membabitkan kes kemalangan maut.

"Berdasarkan laporan kes kemalangan ini, sebab kejadian itu adalah pemandu kebanyakannya tidak mematuhi had laju dibenarkan sedangkan terdapat papan tanda sekitar lapangan terbang," katanya.

Mengulas mengenai hasil operasi itu, beliau berkata, sebanyak 333 saman dikeluarkan malah, kenderaan yang diletakkan di kawasan larangan turut ditunda dan dikenakan saman dengan jumlah kompaun maksimum sebanyak RM300.

Katanya, seramai 25 pegawai dan anggota Trafik/MPV & Unit Ronda Motorsikal (URB) IPD KLIA menyertai operasi berkenaan yang diketuai beliau sendiri.

"Tujuan operasi adalah bagi mengambil tindakan saman ke atas pemandu yang memberhentikan kenderaan di bahu jalan selain di kawasan dilarang meletakkan kenderaan.

"Justeru, tindakan penguatkuasaan diambil untuk memberi kesedaran kepada pemandu supaya mematuhi peraturan jalan raya dan arahan pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk keselesaan orang ramai yang melalui perkhidmatan di KLIA dan klia2," katanya.

Selain memberi nasihat, polis turut meletakkan nota amaran pada kenderaan diletakkan di kawasan larangan serta maklumat kemudahan meletak kereta yang terdapat di lapangan terbang.

 

 

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 2:17am
d