mutakhir

Agenda kesihatan ATM diteruskan

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Agenda kesihatan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kebajikan warga dan veteran ATM terus terbela.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, pelaksanaan agenda itu secara tidak langsung membuktikan kerajaan komited dan memandang serius mengenai kebajikan warga ATM.

“Apa yang kita buat tidak hanya berkisar pada pihak tertentu sahaja, sebaliknya pelaksanaan ini untuk kepentingan semua,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Blueprint Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera dan Projek Menaik Taraf Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Hospital Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Hishammuddin berkata, antara objektif utama diberi perhatian adalah memperkasa profesionalisme pengamal perubatan kesihatan ketenteraan, mengurus perdanakan perkhidmatan perubatan ketenteraan dan meletakkan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) kekal relevan.

Pada majlis sama, Hishammuddin mengumumkan persetujuan kerajaan menaik taraf Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak akan dimulakan tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 36 bulan.

Menurutnya, selepas dinaik taraf Hospital Kem Terendak bakal menyediakan ruang kerja lebih kondusif selain menjadi kampus Latihan Kesiagaan Kesihatan ATM dan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental ATM.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 4:03am
d