mutakhir

Mahu jawapan tuntas

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Pola pemikiran lama seperti pemimpin turun padang tidak lagi menjadi pilihan pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti, sebaliknya rakyat kini mahukan jawapan konkrit dan jalan penyelesaian terhadap sesuatu isu yang berlaku.

Penganalisis politik dari Majlis Profesor Negara Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata, pengundi bukan hanya meneliti isu setempat untuk memilih calon PRU, tetapi juga melihat isu negara seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang turut mempengaruhi dasar kerajaan serta masa depan mereka.

Katanya, kemunculan dua parti baru iaitu Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sukar untuk meraih undi Melayu kerana tiada isu besar menyentuh sensitiviti rakyat untuk beralih daripada parti pemerintah sedia ada.

“Tsunami Melayu tercuit dalam tiga perkara iaitu soal budaya atau adat resam, agama dan Sultan.

“Contohnya pada 1999 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dikaitkan dengan kes liwat, sedangkan beliau ditampilkan dengan imej Islam dan orang Melayu tidak dapat menerimanya menyebabkan undi beralih arah kepada pembangkang.

“Dalam keadaan sekarang tidak mungkin berlaku tsunami Melayu kerana tiada isu sensitif, sebaliknya hanya isu universal membabitkan ramai pihak seperti kos sara hidup,” katanya dalam Seminar Bicara Politik Menuju PRU-14 di Universiti Malaya di sini, semalam.

Seminar dikendalikan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid itu turut disertai dua lagi penganalisis politik iaitu Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi MARA dan Wan Saiful Wan Jan dari Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS).

Sementara itu Dr Mazlan berkata, sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRU kali ini, ia akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) kerana parti pemerintah mempunyai sokongan kuat ahlinya terutama di luar bandar yang mendapat pelbagai keistimewaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan subsidi untuk golongan sasar seperti nelayan dan pekebun.

Katanya, tidak pelik nama besar seperti Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh kalah di kawasan sendiri seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Parlimen Marang sekiranya bertanding tiga penjuru kerana dalam pertandingan dua penjuru sebelum ini pun beliau pernah kalah.

“Persempadanan semula kali ini memberi peluang kepada BN menguasai kawasan baru yang mereka kalah atau memenanginya dengan margin kecil sebelum ini,” katanya.

Wan Saiful pula berkata, BN terutama UMNO perlu mengubah cara berfikir dan bekerja untuk memenangi hati rakyat kerana PRU-14 dijangka sengit dengan persaingan dua atau tiga penjuru.

“Perkembangan PAN tidak sepantas PPBM dan timbul persoalan mereka hendak dapat undi daripada siapa? Takkan hendak harap undi Pakatan Harapan (PH) saja, sedangkan peranan utama mereka untuk mengalihkan undi PAS,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 4:26am
d