mutakhir

Perlu dana rawat Steven Johnson

Oleh Noor Azurin Mohd Sharif

Melaka: Seorang pesakit Sindrom Steven Johnson mengharapkan bantuan orang ramai untuk merawat mata kirinya yang hampir buta.

Hamdan Hashim, 31, yang menghidap penyakit itu sejak 2017, ditimpa malang berganda apabila mata kanan buta sepenuhnya dan kini bergantung kepada mata kiri dengan pandangan terhad atau berdepan kemungkinan buta.

Hamdan berkata, ternyata dia tiada upaya mencari rezeki, apa lagi isterinya Nurrhidayah Hassan, 30, tidak bekerja.

Kini, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 untuk pembedahan Limbal Stem Cell Transplant bagi membolehkannya melihat semula.

Menurutnya, dia tidak pernah menjangkakan dirinya yang sebelum ini sihat, kini hilang upaya sekelip mata malah tidak berupaya bekerja pada usia yang muda.

“Semuanya berpunca daripada sakit mata dan alahan ubat kemudian menyebabkan badan terbakar (melecur) dan hilang penglihatan sebelah mata, malah doktor mengesahkan saya menghidap sindrom Steven Johnson sejak awal tahun lalu,” katanya.

Dia kini menumpang teduh bersama isteri di rumah nenek di Kampung Morten, di sini, tidak mengharapkan bercita-cita terlalu tinggi selain mahu melihat semula biarpun sebelah mata.

“Cuma apa yang sering saya berdoa, biarlah mata kiri dapat diselamatkan dan dapat melihat biarpun terbatas.

“Saya rasa sangat berdosa, sudah lama tak bagi duit kepada ibu dan isteri, mereka pula yang tanggung saya. Sekurang-kurangnya bila dapat jalani pembedahan nanti, dapatlah saya galas kembali tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya, biarpun doktor menyatakan potensi untuk sembuh 50:50, namun saya tetap mahu ikhtiar,” katanya ketika ditemui bersama isterinya di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN), Ayer Keroh, di sini, semalam.

Sementara itu, Nurrhidayah berkata, dia menggalas tanggungjawab mencari rezeki apabila memulakan perniagaan dalam talian.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank Hamdan bernombor 104068296200 atau menghubungi isterinya di talian 017-230 8498.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 4:57am
d