mutakhir

Tak boleh sesuka hati iklan 'kiriman wang'

Oleh Iskandar Shah Mohamed

AHLI perniagaan dijatuhi hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen, Shah Alam, hari ini atas pertuduhan menggunakan perkataan 'kiriman wang' di pelekat iklan di premis miliknya tanpa kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM), Selasa lalu.

Hakim Adli Abd Ghalib memutuskan demikian selepas tertuduh, K Muniandy, 53, mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan turut mengakui fakta kes dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai pemilik tunggal perniagaan Edelweiss MN Enterprise didakwa menggunakan perkataan itu tanpa terlebih dulu mendapatkan kelulusan bertulis daripada BNM di Bandar Sungai Pelek, Sepang, Selasa lalu.

Justeru, bapa kepada empat anak itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, hasil serbuan jam 12.30 tengah hari oleh Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan (JPKP) BNM mendapati pintu cermin premis tertuduh mempamerkan pelekat tertera perkataan kiriman wang ke luar negara.

Tertuduh bagaimanapun gagal menunjukkan kebenaran bertulis oleh BNM dan pelekat itu disita untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Muniandy yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan empat anak termasuk dua masih bersekolah selain isterinya yang tidak bekerja.

Pegawai Pendakwa BN, Edward Chan yang mengendalikan kes bagaimanapun memohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam dan seriusnya kes itu yang mengenakan hukuman berat ke atas pesalah.

"Aktiviti yang dijalankan itu membabitkan pengaliran mata wang Malaysia ke luar negara. Jika tidak dipandang berat, ia akan menjejaskan ekonomi negara ini," katanya.

Adli kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda RM15,000 itu.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 12:21pm
d