mutakhir

Bersalah tipu beli bas

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

PEMANDU bas pelancong dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi penukaran hak milik bas pelancongan tiga tahun lalu.

Tertuduh, M Indran, 32, dari Klang, Selangor membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen iaitu Circular Resolution Syarikat Gift Two K Holiday Sdn Bhd bertarikh 15 April 2014 yang dikatakan membenarkan tertuduh membeli sebuah bas milik Syarikat Gift Two K Holiday Sdn Bhd dengan nilai jualan sebanyak RM45,000. Dokumen itu pula palsu kerana pengarah syarikat berkenaan tidak pernah mengeluarkan sebarang Circular Resolution terbabit.

Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Raub pada 20 Mei 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 456 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mihd Zamry manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hamizi Mat Said.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh turut menawarkan diri untuk memajak bas bernombor pendaftaran TAJ 9890 daripada sepasang suami isteri iaitu Putih Dalib dan Che Ahmad Che Long, dan mereka bersama-sama bersetuju dengan pembayaran RM5,000 sebulan kepada Syarikat Gift Two K Holiday Sdn Bhd.

Namun, pada tahun kedua pajakan, tertuduh langsung tidak membuat sebarang pembayaran sehingga pihak Syarikat Gift Two K Holiday Sdn Bhd mendapat saman akibat beberapa sebab, lantas pemilik bas membuat laporan polis dan semakan di JPJ di Terengganu dan mendapati kenderaan terbabit sudah bertukar milik kepada tertuduh.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengemukakan satu dokumen palsu iaitu Circular Resolution Syarikat Gift Two K Holiday Sdn Bhd bertarikh 15 April 2014 sebagai tulen di JPJ Raub.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 2:47pm
d