mutakhir

Lah lawan arus lagi? [METROTV]

Oleh Mohd Hasbi Sidek

LELAKI warga emas dipercayai cuba bunuh diri dengan memandu secara melawan arus di Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE), dekat Petaling Jaya, petang semalam.

Kejadian 4.30 petang itu dirakam pengguna jalan raya sebelum video itu tular sejak pagi tadi.

‎Rakaman berdurasi dua minit dan 42 saat itu menunjukkan kereta dipandu lelaki melawan arus sejauh kira-kira dua kilometer.

Dalam masa sama Peronda NPE turut mengejar kenderaan berkenaan menggunakan motosikal sambil mengarahkan pemandu supaya berhenti. Kira-kira dua minit kemudian, pemandu terbabit akhirnya berhenti.

‎Kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah.

‎Jurucakap Pengurusan Konsesi NPE berkata, tujuan pemandu melakukan tindakan itu adalah untuk bunuh diri.

‎"Pihak kami berjaya menghalang pemandu berkenaan dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

‎Sementara itu, polis trafik berkata, pihaknya sedang mengambil keterangan daripada pegawai peronda NPE berhubung kejadian.

‎"Buat masa ini pihak kami belum mendapat sebarang maklumat mengenai pemandu berkenaan.

Bagaimanapun pemilik kenderaan itu difahamkan lelaki berusia 40-an dipercayai anak kepada pemandu.

‎"Maklumat lanjut mengenai pemandu, kenderaan dipandu masuk ke lebuh raya dari mana dan tujuan dia melakukan tindakan itu akan diberikan kemudian.

‎"Bagaimanapun, kes akan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 4:35pm
d