mutakhir

Sanggup terjun elak dicekup

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TINDAKAN nekad lelaki warga Indonesia terjun dari tingkat tiga bangunan bagi mengelak daripada dicekup sepasukan anggota Jabatan Imigresen membawa padah apabila cedera dalam kejadian di Blok E, Bandar Sabindo, Jalan Habib Sheikh, Tawau, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, lelaki berusia 40-an patah kaki sebelum dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan bahawa kejadian itu berlaku ketika Ops Ikrar dijalankan untuk menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) di daerah ini.

"Menurut laporan, seorang lelaki yang juga warga asing disyaki jatuh dari tingkat tiga bangunan itu.

"Akibat kejadian itu, lelaki terbabit mengalami patah kaki dan kini dirawat di wad kecemasan Hospital Tawau," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Fadil berkata, ketika kejadian itu juga, pihak Jabatan Imigresen berjaya menahan seorang wanita berusia 51 tahun dipercayai ahli keluarga lelaki itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu dipercayai warga Indonesia dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 5:19pm
d