mutakhir

Budak tergelincir ditemui lemas

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang tergelincir ketika menunggang basikal bersama beberapa rakan ditemui lemas di tali air di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu, semalam.

Mangsa, Muhammad Zul Hisyam Md Hashim ditemui jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama beberapa rakan menunggang basikal melalui jambatan di lokasi itu sebelum dia tergelincir.

Katanya, rakan mangsa kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian itu.

"Penduduk kampung menghubungi polis jam 3.41 petang dan pada masa yang sama melakukan gerakan mencari dan menyelamat.

"Sebaik sampai jam 4.20 petang, mangsa sudah ditemui penduduk kampung dan dibawa ke tebing," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 5:55pm
d