mutakhir

Hikmah hijrah dari Narathiwat

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

“SAYA dan keluarga berhijrah ke sini (Malaysia) kerana mahu belajar ilmu agama dengan tenang selain lari daripada pergolakan yang berlaku di Narathiwat, Thailand,” kata pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2017 warga Thailand, Miss Kaosar Hayeejehwae, 19.

Miss Kaosar yang berasal dari Narathiwat adalah antara 67 pelajar cemerlang STAM 2017 yang diraikan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan STAM 2017 peringkat kebangsaan, di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, keputusannya untuk berhijrah ke negara ini membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred Mumtaz dalam 10 mata pelajaran yang diambil.

"Saya bersama ibu dan ayah menetap di Malaysia sejak 2012 memandangkan ayah ada mengusahakan pondok agama di Selangor dan Perak.

"Kejayaan ini tidak datang dengan mudah dan saya bersyukur kerana ramai pihak membantu saya terutama dalam menjelaskan yuran pengajian ketika menuntut di Maahad Imtiyaz, Ipoh, Perak," katanya.

Katanya, dia akui banyak menerima bantuan daripada komuniti Thailand yang menetap di Ipoh, Perak terutama yang mengusahakan restoran.

Miss Kaosar berkata, dia merancang untuk menyambung pelajaran di Mesir dalam bidang bahasa Arab selain memasang cita-cita untuk bergelar sebagai penterjemah bahasa Arab suatu hari nanti.

"Saya akan pulang ke Narathiwat dalam masa terdekat untuk mencari modal dan pembiayaan pengajian sebelum berlepas ke Mesir," katanya.

Sementara itu, pelajar cemerlang STAM 2017 dari Maktab Mahmud, Alor Star, Kedah, Muhammad Afiq Amzar Abd Khalid, 19, berkata, dia sudah merancang lebih awal untuk mengambil peperiksaan STAM biarpun memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu.

Menurutnya, dia juga merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang bahasa Arab dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah.

"Kejayaan cemerlang dalam STAM banyak dibantu oleh rakan-rakan serta tenaga pengajar di sekolah," katanya yang juga pelajar lelaki tunggal daripada tujuh calon yang memperoleh keputusan cemerlang gred Mumtaz di sekolahnya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pelajaran (Pembangunan dan Profesionalisme Keguruan), Dr Zainal Aalam Hassan dalam ucapannya berkata, 67 pelajar dan 20 buah sekolah agama dari seluruh negara diraikan pada hari ini bagi menghargai pencapaian cemerlang masing-masing.

Menurutnya, setiap pelajar cemerlang menerimasijil kecemerlangan dan wang tunai sumbangan peribadi Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Calon STAM adalah aset kepada negara untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang pendidikan agama dan bahasa Arab khususnya. Mereka berupaya untuk bersaing di peringkat antarabangsa dalam bidang pendidikan dan juga pasaran pekerjaan di dalam dan

di luar negara.

"Setakat ini, STAM berjaya melahirkan murid yang menguasai bahasa Arab dengan baik selaras dengan aspirasi murid untuk menguasai kemahiran dwibahasa seperti mana yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025," katanya.

Gambar Mohd Fadli Hamzah

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 6:33pm
d