mutakhir

RM3.1 bilion untuk sekolah Sabah

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

SABAH menerima RM3.1 bilion daripada Kerajaan Pusat bagi melaksanakan projek baharu dan sambungan yang membabitkan sebanyak 142 sekolah menerusi Rancangan Malaysia Ke-11( (RMK-11).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.4 bilion diluluskan untuk projek baharu yang membabitkan 56 sekolah manakala selebihnya bagi melaksanakan projek sambungan yang membabitkan 86 sekolah.

“Dalam RMK-11, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lulus projek baharu 56 sekolah untuk Sabah iaitu sebanyak RM1.4 bilion. Perdana Menteri juga beri peruntukan projek sambungan kepada 86 sekolah dengan jumlah RM1.7 bilion.

"Jadi keseluruhannya sebanyak RM3.1 bilion diperuntukkan kepada Sabah dalam RMK-11," katanya pada majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau, Kota Marudu, yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

SMK Bandau ditubuhkan pada tahun 2000 namun menumpang bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Ongkilan sebelum menggunakan bangunan sendiri pada Mac 2014 yang dibina dengan kos RM34 juta.

Selain dilengkapi 24 kelas, makmal sains dan komputer, pusat pentadbiran, pusat sumber dan kantin, SMK Bandau yang mempunyai 1,022 pelajar serta 53 guru turut dilengkapi bangunan asrama, padang dan gelanggang untuk aktiviti riadah dan sukan.

Sebagai tambahan, Mahdzir berkata, sebanyak RM1 bilion lagi diperuntukkan Kerajaan Pusat kepada Sabah untuk menggantikan bangunan sekolah yang dibina daripada kayu menerusi kaedah pembinaan berindustri (IBS) pada tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2018 pada Oktober lalu.

Sementara itu, katanya ketika ini nisbah guru berasal dari Sabah yang mengajar di negeri itu sudah mencapai 87.4 peratus dan ia sudah menghampiri nisbah 90 peratus guru asal Sabah seperti yang ditetapkan kerajaan.

"Ketika ini ada kira-kira 40,000 guru yang mengajar di sekolah menengah dan sekolah rendah di Sabah. Dasar 90 peratus guru tempatan Sabah dan 10 peratus guru dari luar yang dilaksanakan sehingga sekarang sudah mencapai 87.4 peratus.

"Bukan itu saja, kerajaan turut melantik Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu daripada orang Sabah iaitu Datuk Dr Amin Senin yang memulakan tugas pada Oktober lalu. Beliau adalah orang Sabah pertama menjadi Ketua Pengarah Pelajaran," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 9:04pm
d