mutakhir

Masyarakat Siam Kelantan berpegang kepada janji

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

MASYARAKAT Siam Kelantan disifatkan sebagai rakyat yang berpegang kepada janji dan akan kekal bersama kerajaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau percaya masyarakat Siam akan tetap berikan sokongan terhadap pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, September 2014, kita dapati 90 peratus daripada 6,000 pengundi di daerah ini menyokong BN.

"Berdasarkan peratusan itu, kita yakin mereka akan tetap menyokong kerajaan sedia ada," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Sawadee Perdana Menteri 2018, di Wat Sukhontharam, Kubang Panjang, Tumpat, semalam.

Pada majlis itu, seramai 100 masyarakat Siam yang kurang berkemampuan menerima sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri yang disampaikan oleh Mustapa.

Hadir sama, Pegawai Khas Menteri Besar Kedah merangkap wakil masyarakat Siam, Datuk Seri Boon Som Inong dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

Mustapa berkata, karnival yang diadakan itu merupakan satu platform yang dilihat berkesan dalam menyatukan masyarakat Siam.

"Saya sendiri cukup rapat dengan mereka dan sentiasa naik turun ke rumah masyarakat di sini.

"Malah, Perdana Menteri sendiri cakna dan prihatin akan masyarakat di sini dan segala manifesto yang dijanjikan dalam PRK Pengkalan Kubor sudah ditunaikan," katanya.

 

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 12:31am
d