mutakhir

Akses maya bola sepak

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Aplikasi mudah alih khas bagi peminat bola sepak negara yang pertama di negara ini, Fanskick, dilancarkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Fanskick Dot Com Sdn Bhd, Farouk Mustaffa berkata, pihaknya menyasar sejuta pengguna memuat turun aplikasi berkenaan sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan menawarkan pelbagai kemudahan seperti pembelian tiket iaitu pengguna boleh akses ke aplikasi itu dan terus ke pintu stadium yang mengimbas kod tertentu di telefon pintar pada hari perlawanan.

Menurutnya, aplikasi berkenaan membolehkan peminat bola sepak menerima berita terkini berkaitan perlawanan dan kedudukan di dalam Liga Super serta Liga Perdana.

Katanya, pengguna Fanskick juga menikmati Live Streaming kerana aplikasi itu menyiarkan perlawanan yang tidak disiar di media arus perdana secara terus ke telefon pintar.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play dan App Stores serta Fanskick Dot Com. Permainan simulasi pengurusan bola sepak juga disediakan menerusi FK Manager selain ruang interaksi komuniti sosial maya bagi merapatkan jurang antara peminat dan pemain bola sepak.

“Aplikasi ini menerima pengiktirafan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP),” katanya.

Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta Pengerusi Fanskick Dot Com, Datuk Shahul Hamid.

Tunku Ismail turut menyaksikan penyerahan sijil Malaysian Books of Record (MBOR) kepada Shahul kerana menghimpunkan 24 pasukan Liga Super dan Liga Malaysia pada majlis pelancaran itu.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 4:46am
d