mutakhir

Pemandu lori ais nafi penyebab 9 kematian

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

Tapah : Pemandu lori ais dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dakwaan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian seorang pemandu van dan lapan penumpangnya, tiga bulan lalu.

Muhammad Eizat Hazmi, 22, yang beralamat di Mambang Diawan, dekat Kampar, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu lori secara melulu sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga pemandu van serta lapan wanita berusia 52 dan 82 tahun yang juga penumpang van itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 45, Jalan Ipoh -Teluk Intan, dekat sini, jam 6.45 pagi pada 28 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda sehingga RM20,000 dan lesen memandu boleh digantung, jika sabit kesalahan.

Majistret menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh manakala kes disebut semula pada 27 Februari ini.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 5:27am
d