mutakhir

Gempur hentian bas 'asing'

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menggempur Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) semalam yang menjadi tumpuan warga asing pada setiap cuti hujung minggu.

Ops Mega (Sapu) diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah JIM Terengganu Mohd Yassin Yusof itu dijalankan selama tiga jam bermula jam 10 pagi dengan kekuatan 16 orang terdiri pegawai dan anggota.

Difahamkan, kawasan berkenaan menjadi tumpuan warga asing menghabiskan cuti hujung minggu dengan mengunjungi beberapa kedai aksesori telefon bimbit dan kedai makan diusahakan warga Bangladesh dan Myanmar.

Golongan warga asing bukan saja berada di negara ini secara tidak sah, malah mereka mampu menjalankan perniagaan tanpa rasa bimbang dikenakan tindakan undang-undang.

Malah, ada antara mereka yang ditahan turut terbabit sebagai ejen mendapatkan kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) tanpa sebarang bayaran.

Lelaki Myanmar berusia 30-an itu mendakwa perkhidmatan diberikan kepada rakan senegara yang tidak memiliki kad UNHCR diberikan percuma.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 5:30am
d