mutakhir

Hilang di Puchong ditemui di Pasir Mas

Oleh HM Digital

Puchong: Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terkejut diberitahu Honda Civic miliknya yang hilang Rabu lalu ditemui di Pasir Mas, Kelantan namun dipandu individu tidak dikenali yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya, jam 11 malam semalam.

Mas Irwady Karim, 31, berkata, Honda Civic itu hilang di kawasan rumah sewanya di kondominium di Puchong Prima di sini.

“Saya menyewa dengan adik. Ketika kejadian, saya baru pulang daripada kerja dan ketika mencari kereta di parkir, saya dapati ia tiada.

“Saya tiada tunggakan pembayaran kereta dan saya pasti ia dicuri. Saya melaporkan kehilangan di Balai Polis Puchong,” katanya.

Menurut Mas Irwady, semalam, rakannya memaklumkan menemui Honda Civic itu di Pasir Mas namun ia dipandu laju.

“Rakan memaklumkan kereta saya dipandu laju dan pemandunya melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

“Bagaimanapun, saya masih belum memperoleh maklumat lanjut berkaitan perkara itu,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 5:44am
d