mutakhir

Bekas pelumba SUKMA terbunuh

Oleh Mohd Sah Muda

BEKAS pelumba basikal Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 1998, maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dari belakang dekat simpang ke rumahnya di Kilometer 5, Jalan Mersing-Endau, Johor, hari ini.

Jema'in Md Khalid, 39, yang menunggang Suzuki Smash cedera parah di kepala dan badan selepas tercampak beberapa meter akibat rempuhan kuat, kira-kira 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edword Nuing berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kawasan berhampiran selepas menghantar kuih ke Pasar Tepian Sungai, Mersing.

Beliau berkata, siasatan mendapati pemandu Proton Waja berusia 49 tahun itu tiada lesen memandu.

“Pemeriksaan juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai saman memandu tanpa lesen dan cukai jalan manakala insurans kereta itu sudah tamat tempoh,” katanya.

Menurutnya, pemandu lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 2:35pm
d