mutakhir

Sayu lihat suami terbujur kaku

Oleh Mohd Sah Muda

“HANCUR hati melihat tubuh suami terbujur di tengah jalan dan disahkan meninggal dunia,” kata Zuraidah Baharon, 35, isteri bekas pelumba basikal Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 1998, Jema’in Md Khalid.

Suaminya yang berusia 39 tahun itu maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 5 Jalan Mersing-Endau, Johor, 7.30 pagi tadi.

Zuraidah berkata, ketika kejadian dia bekerja sebagai pembantu gerai berhampiran tempat kejadian apabila dihubungi seorang anaknya memaklumkan suaminya kemalangan.

Dia bergegas ke lokasi yang tidak jauh dari simpang ke rumahnya di Kampung Tenglu sebelum melihat ada mayat terbujur di atas jalan raya.

“Tidak sangka pagi tadi ketika dia menghantar ke gerai tempat saya bekerja adalah pertemuan terakhir kami.

“Selepas itu suami ke Pasar Tepian Sungai di bandar Mersing untuk menghantar kuih yang saya buat kepada peniaga.

“Arwah penyayang dan bertanggungjawab. Saya bukan saja hilang teman hidup malah tempat bergantung.

“Kini saya sendirian membesarkan tiga anak berusia 12, 15 dan 17 tahun yang masih sekolah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing, hari ini.

Menurutnya, jenazah suaminya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tenglu.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 3:57pm
d