mutakhir

Anak panda kedua betina

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Anak panda kedua yang dilahirkan enam hari lepas di Zoo Negara, Hulu Klang, Selangor adalah betina.

Perkara itu diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan di sini, semalam.

“Sukacita saya umumkan anak panda gergasi yang baru dilahirkan adalah betina dan seberat 190 gram.

“Anak panda ini berada dalam keadaan sihat dan dijaga ibunya serta penjaga di Zoo Negara,” kata beliau.

Pasangan panda gergasi di Malaysia, Xing Xing dan Liang Liang menyambut kelahiran anak kedua itu pada 14 Januari lalu.

Ia dilahirkan secara semula jadi jam 7.50 pagi iaitu 89 hari selepas tarikh persenyawaan pasangan panda gergasi itu pada 18 Oktober 2017.

Kelahirannya merupakan kejayaan Malaysia dalam Program Konservasi Panda Gergasi.

Anak panda pertama, Nuan Nuan dilahirkan pada 18 Ogos, 2015 dan hanya berada di Malaysia selama dua tahun sebelum dihantar pulang ke Chengdu, China pada 14 November tahun lalu.

Ini sebagai memenuhi syarat perjanjian Malaysia dan China yang memberi peluang kepada negara ini untuk menjaga pasangan panda gergasi itu selama 10 tahun bermula dari 2014.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 5:26am
d