mutakhir

Sogok duit elak disita

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Bagi mengelakkan kenderaannya disita penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), seorang pemandu teksi cuba menyogok anggota itu ketika operasi di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tengah hari kelmarin.

Dalam Operasi Khas Tegas jam 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 40-an cuba menyogok RM300 namun ditolak anggota penguat kuasa.

Jurucakap SPAD berkata, pemandu teksi berkenaan didapati tidak mempunyai kad pemandu dan gagal mengemukakan salinan permit perkhidmatan ketika diperiksa.

“Ketika menjalankan pemeriksaan di pintu lapan, aras lima Balai Pelepasan KLIA, kami mendapati seorang pemandu teksi melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Kenderaan lelaki itu perlu disita namun lelaki itu merayu teksinya tidak disita sebelum mengeluarkan sejumlah wang dan cuba memberikan kepada anggota beberapa kali,” katanya.

Menurutnya, anggota bagaimanapun menolak sogokan itu dengan cara berhemah dan menasihatkan pemandu teksi itu tidak melakukan perkara sebegitu sebelum lelaki berkenaan memasukkan semula sejumlah wang ke dalam poket seluar.

“Pegawai penguat kuasa kami Mohd Syamil Dzulkifli memberi amaran keras kepada pemandu. Seterusnya pemandu dibawa ke pejabat SPAD KLIA untuk diambil keterangan dan tindakan selanjutnya.

“Manakala kenderaan disita ke depoh sitaan SPAD di Bandar Enstek, Negeri Sembilan untuk siasatan. Satu laporan polis dibuat mengenai penyitaan itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memuji tindakan pegawai penguat kuasa berkenaan yang menolak sogokan dan diharap menjadi teladan kepada pegawai kami dan pemandu teksi sendiri.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 7:06am
d