mutakhir

Hampir 19 jam terapung

Oleh Mohd Sah Muda

SELEPAS hampir 19 jam terapung, pemancing yang hilang selepas bot dinaiki bersama tiga rakannya terbalik di perairan Pulau Harimau, Mersing, 12.30 tengah hari semalam, selamat dijumpai di Pulau Lima, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, Mohd Afiq Azmi, 25, ditemukan nelayan tempatan di perairan Pulau Lima kira-kira 9 pagi dalam keadaan lemah.

Katanya, Mohd Afiq terpisah dengan tiga lagi rakannya yang terselamat itu terpaksa bertarung nyawa hampir 19 jam dibawa arus hingga ke Pulau Lima sebelum dijumpai nelayan.

Dalam kejadian tengah hari semalam, Mohd Afiq bersama tiga rakan, Mazlan Mohamed, 43, dam dua beradik iaitu Shahrul Azhar, 36, dan Mohd Fadzil Hamzah, 46, selamat selepas berpaut pada bot gentian kaca yang terbalik sebelum diselamat sebuah bot pelancong yang lalu di situ.

"Bagaimanapun Afiq yang ketika itu memakai jeket keselamatan dihanyutkan arus menyebabkan dia terpisah dengan rakannya.

"Usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan nelayan tempatan untuk mengesan Afiq.

“Nasib masih menyebelahinya apabila kira-kira 9 pagi tadi dia ditemui dalam keadaan lemah selepas bertarung nyawa dalam laut yang bergelora," katanya.

Katanya, APMM dalam perjalanan mengambil Afiq untuk dibawa pulang ke Mersing dan akan menghantar mangsa ke Hospital Mersing bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum kembali kepada pangkuan keluarganya.

Difahamkan, mereka berempat dalam perjalanan pulang ke Pengkalan Nelayan Kampung Teluk Buih Air Papan, namun bot dinaiki terbalik sebelum dijumpai 7.30 malam semalam.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 1:45pm
d