mutakhir

Enam insentif khas ketua kampung di Johor

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KERAJAAN Johor mengumumkan enam insentif khas kepada ketua kampung di negeri ini terutama membabitkan kebajikan golongan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insentif pertama membabitkan jumlah ganjaran bagi ketua kampung yang bersara, tamat perkhidmatan atau meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan dinaikkan 100 peratus.

"Ia dinaikkan daripada RM25 kepada RM50 dan dikalikan dengan genap bulan perkhidmatan.

"Bayaran insentif minimum bagi insentif juga dinaikkan sebanyak 100 peratus iaitu daripada RM500 kepada RM1,000 yang terhad sepanjang tempoh perkhidmatan sehingga umur 65 tahun saja," katanya.

Beliau berkata keduanya kerajaan negeri memutuskan bayaran elaun tambahan sebanyak RM200 sebulan kepada ketua-ketua kampung yang dibayar mulai tahun 2015 dikekalkan.

"Bayaran Ganjaran Perkhidmatan kepada ketua-ketua kampung yang dihentikan mulai 1 Januari 2015 hendaklah dibayar semula beserta tunggakannya," katanya.

Katanya, kebajikan ketiga diumumkan adalah berkaitan bayaran elaun bulanan serta ganjaran tamat perkhidmatan perlu digenapkan bulannya.

"Insentif keempat adalah kerajaan negeri akan meneruskan pemberian bantuan khas hari raya kepada semua ketua kampung sebanyak RM300," katanya.

Beliau berkata, selain itu insentif kelima adalah kerajaan negeri menetapkan kuota haji untuk ketua-ketua kampung ditambah tahundepan dari lapan orang kepada 10 orang.

"Insentif keenam adalah kerajaan negeri bersetuju bahawa had umur maksimum ketua kampung dilanjutkan dari 65 tahun ke 70 tahun," katanya.

Mengulas lanjut mengenai semua insentif dan peruntukan ini katanya ia adalah khusus dan memberi manfaat secara langsung kepada ketua-ketua kampung di seluruh Johor.

"Ia kita lakukan dengan kesedaran bahawa pemimpin di peringkat tempatan dan akar umbi seperti ketua kampung adalah struktur penting kepada pentadbiran kerajaan negeri.

"Jadi harapan saya, malah harapan seluruh anggota masyarakat yang kita wakili dan pimpin, pastilah mereka mengharapkan selepas ini ketua kampung di johor akan memberikan khidmat terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Amanat Menteri Besar Johor Bersama Ketua Kampung Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (PERSADA) di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz dan Presiden Ketua-ketua Kampung Negeri Johor, Roslin Kasmin.

Pada majlis itu kira-kira 700 ketua kampung di seluruh negeri ini, pegawai daerah dan ketua jabatan hadir pada majlis itu.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 4:06pm
d