mutakhir

Awat hang tolak kepala dia? [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS sedang mengesan seorang lelaki kurang siuman yang bertindak menolak kepala seorang wanita di sebuah pondok perhentian bas dekat Taman Perwira, di sini pada 6 Januari lalu hingga video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam kejadian itu mangsa berusia 24 tahun didatangi seorang lelaki tidak waras yang bertindak menolak kepala berikutan marah bahawa wanita itu tidak bertudung.

Beliau berkata, bagaimanapun wanita itu terus beredar bersama kakaknya dan membuat laporan semalam untuk memaklumkan kepada pihak polis berhubung kelakuan lelaki berusia 30 tahun itu selepas video kejadian berkenaan sehingga kini masih diviralkan pengguna laman media sosial.

"Wanita itu memberitahu bahawa suspek yang berada dalam keadaan kurang waras datang bertanyakan destinasi yang mahu ditujuinya sebelum lelaki itu tiba-tiba marah serta menolak kepala mangsa dengan tangan kerana tidak suka melihat wanita tidak bertudung.

"Pada ketika itu, kakak mangsa yang turut menunggu bas untuk bertemu rakan mereka di pekan Bukit Mertajam bertindak menghalang suspek kerana bimbang kejadian lebih serius berlaku dan terus beredar," katanya dalam kenyataan, di sini, tadi.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati suspek yang berasal dari Ipoh, Perak itu kurang siuman sejak 15 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

"Kita telah pergi di sebuah rumah dekat daerah ini untuk mendapatkan keterangan yang mana bapa saudara suspek memaklumkan anak saudaranya itu sudah lama tidak waras dan sering merayau serta tidak pulang ke rumah.

"Usaha untuk mengesannya sedang dijalankan supaya polis dapat menghantar suspek untuk mendapatkan rawatan di hospital dengan segera," katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 4:59pm
d