mutakhir

Festival TGR meriah [METROTV]

Oleh Mohd Razlan Salleh

KIRA-KIRA 25,000 pengunjung menghadiri Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) untuk menyaksikan perlumbaan Vios Challenge yang disertai beberapa selebriti popular tanah air dan pelumba profesional tempatan, semalam.

Antara yang menarik sepanjang pusingan ketiga perlumbaan kali ini termasuklah kejutan bagi kategori Super Sporting apabila pelumba pasukan Laser Motor Racing, Keifli Othman menamatkan perlumbaan di tempat pertama, diikuti Tengku Djan Tengku Mahaleel (Team Nanoplus) dan Ho Wi Liam di kedudukan podium terakhir.

Bagi kategori Promotional pula, Shawn Lee masih menguasai pelumbaan kali ini manakala pesaingnya, Shukri Yahaya masih kekal di tempat kedua sementara Fattah Amin memperbaiki kedudukan di tempat ketiga.

Kategori khusus untuk selebriti ini turut disertai Diana Danielle, Janna Nick, Danny Koo, Geraldine Gan dan Venice Min.

Untuk kategori Sporting, Brendan Paul Anthony daripada pasukan Dream Chaser mengungguli tempat pertama, diikuti pelumba Hiewa Racing Team, Wong Chin Eeg sementara Kenneth Koh Keik Lum (Panglima City Racing Team) di tempat ketiga.

Hadir sama Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor), Akio Takeyama dan Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran.

Perlumbaan Vios Challenge yang memasuki pertengahan musim menyaksikan peserta daripada ketiga-tiga kategori berentap lebih sengit untuk merebut takhta kejuaraan di litar jalanan sepanjang 1.9 kilometer (km)yang menampilkan laluan lurus terpanjang setakat ini.

Selain menyaksikan perlumbaan daripada selebriti dan pelumba profesional serta amatur, pengunjung dapat melihat sendiri aksi hebat pertunjukkan drift oleh juara dunia, Masato Kawabata dari Jepun dan Drift Samurai, Takahiro Imamura.

Pada masa sama, beberapa selebriti terkenal tanah air yang menyertai siri bas jelajah Media Prima daripada siri Drama Sangat seperti Nazrief Nazri, Intan Najwa, Adiba Yunos, Aishah Azman, Raja Afiq, Ruhainies, Zie Zainal dan Aliff Yasraff turut menghiburkan pengunjung selain mengedarkan cenderahati.

Tidak ketinggalan kehadiran watak superhero seperti Ejen Ali dan Comot.

Sepanjang festival ini, orang ramai juga boleh melihat lebih dekat model kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota C-HR yang bakal dilancarkan tahun ini selain memenangi hadiah menarik termasuk cabutan bertuah sebuah Toyota Vios Sports Edition.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 5:18pm
d