mutakhir

USIM urus hospital baru di Nilai

Oleh Mohd Amin Jalil

SEBUAH hospital baru akan dibina di Bandar Baru Nilai bagi menampung keperluan kesihatan penduduk di kawasan berkenaan yang semakin pesat membangun.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek yang sudah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan itu akan memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan berkenaan yang kini terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.

"HTJ kini juga terpaksa menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat dan pembinaan hospital di Nilai itu kelak akan menyelesaikan masalah berkenaan.

"Hospital itu dirancang dibina berhampiran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kerajaan negeri juga mencadangkan kepada kementerian supaya hospital baru itu diuruskan USIM kerana mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kesihatan Wanita Peringkat Negeri Sembilan 2018 di Bandar Sri Sendayan, Seremban, hari ini.

Turut hadir isteri beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) Negeri Sembilan, Datuk Raja Salbiah Tengku Nujumudin dan Pengerusi Matrix Concept Sdn Bhd, Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin.

Sementara itu, Mohamad berkata Matrix Concept juga akan membina sebuah hospital swasta yang boleh memuatkan 450 katil di Bandar Sri Sendayan.

Menurutnya, hospital itu sebahagian daripada usaha pemaju melengkapkan kemudahan prasarana di kawasan berkenaan yang dianggarkan mempunyai bilangan penduduk mencecah 10,000 orang dalam tempoh 10 tahun.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 6:06pm
d