mutakhir

Hospital KPJ Pulau Pinang diiktiraf lagi

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

HOSPITAL Pakar KPJ Pulau Pinang, Bandar Perda memperoleh sijil akreditasi daripada Malaysian Society For Quality In Health (MSQH) buat kali ketiga, sekali gus diiktiraf sebagai hospital yang berkualiti dan selamat di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Zabidi Abdul Razak berkata, sejak memulakan operasi pada 2009, pengiktirafan itu membuktikan hospital berkenaan mampu memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada orang awam.

Beliau berkata, malah, semua kakitangan di hospital itu adalah yang terlatih termasuk doktor yang diiktiraf menggunakan polisi, prosedur dan sistem yang diterima pakai di peringkat antarabangsa dalam persekitaran yang selamat.

"Paling diharapkan adalah mendapat hasil apa yang pihak kami inginkan iaitu setiap pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital ini akan pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan sembuh.

"Piawaian akreditasi MSQH sudah meningkat dan mengubah pemikiran serta kepercayaan orang awam dan pesakit antarabangsa mengenai tahap kualiti dan keselamatan dalam kemudahan penjagaan kesihatan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menganjurkan Festival Makan Durian sempena pengiktirafan akreditasi daripada MSQH itu di hospital berkenaan, semalam.

Zabidi berkata, untuk pengetahuan orang ramai, MSQH adalah badan akreditasi negara untuk hospital terutama dalam kemudahan penjagaan kesihatan, perkhidmatan dan pengurusan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan mahu semua entiti penjagaan kesihatan awam dan swasta di negara ini mendapat pengiktirafan MSQH itu.

"Sebagai tanda penghargaan atas usaha dan kerjasama tenaga kerja KPJ Pulau Pinang ini atas pengiktirafan ini, kami menganjurkan festival makan durian ini membabitkan 1,000 kilogram (kg) durian yang dihadiri hampir 600 kakitangan dan doktor.

"Pihak hospital berharap dengan menganjurkan aktiviti seperti ini, ia dapat mengeratkan hubungan eratsesama kakitangan selain mampu mewujudkan servis yang berkualiti dan usaha ke arah pencapaian yang lebih baik.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 6:21pm
d