mutakhir

Geng Lombok tumpas

Oleh Ibrahim Isa

POLIS melumpuhkan satu kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Lombok dengan menahan enam daripada tujuh warga asing yang aktif menyamun rumah dan premis perniagaan di sekitar Muar, Johor sejak Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, semua suspek warga Indonesia itu ditahan dalam dua serbuan berasingan selepas pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi mengesan penjenayah berkenaan.

"Kami menerima sembilan laporan polis kes pecah rumah di sekitar Pagoh, Panchor dan Bakri. Laporan pertama diterima pada 2 Disember lalu dan terakhir, 15 Januari lalu di mana kesemua laporan ini membabitkan sembilan kes.

"Lima daripada kes samun ini disasarkan di rumah kongsi warga asing manakala selebihnya membabitkan rumah penduduk tempatan termasuk kedai runcit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Johor, hari ini.

Menurutnya, tiga suspek pertama ditahan pada 17 Januari lalu di rumah mereka di sekitar daerah ini, manakala empat yang lain termasuk seorang wanita ditahan di sebuah rumah kongsi di Bukit Pasir, semalam.

Katanya, hasil siasatan pihaknya mendapati wanita yang ditahan itu tidak terbabit dalam kes jenayah berkenaan namun ditahan mengikut Akta Imigresen.

"Hasil tangkapan enam suspek itu, kami percaya berjaya menyelesaikan kes samun yang berlaku sejak lebih sebulan lalu.

"Mereka ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini secara haram.

"Pada masa sama, kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata," katanya.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti suspek yang masih bebas iaitu seorang lelaki warga Indonesia bernama Rizki@Maskom berusia 20-an.

Berikutan itu katanya, orang ramai yang tahu di mana Rizki berada diminta menyalurkan maklumat bagi membolehkan polis mengambil tindakan.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 9:53pm
d