mutakhir

Terima kasih beri kegembiraan kepada mereka

Oleh Hamzah Osman

EMPAT puluh ahli kelab motosikal berkuasa besar turun padang menyantuni anak yatim, asnaf dan miskin di Rumah Nur Kasih (RNK), Kampung Ulu Melaka, Langkawi, hari ini.

Program amal selama satu jam setengah mulai jam 9.30 pagi itu digerakkan ahli Kelab Pemotoran Satu Hati (KPSH) dari Pulau Pinang dan Langkawi Pelesit Bikers.

Tinjauan mendapati, acara membonceng bersama-sama penunggang motosikal berkuasa tinggi dan dibawa mengelilingi kampung itu adalah aktiviti yang dinantikan oleh kanak-kanak lelaki berusia antara tujuh dan lapan tahun pada program itu.

Anak yatim, Mohd Ramadan Ramli,8, berkata, dia teruja mendengar deruman enjin motosikal dan sangat seronok kerana diberi peluang merasai pengalaman menaiki motosikal berkuasa besar.

"Saya tak sangka dapat naik motosikal besar pada hari ini. Ia pengalaman pertama tidak dapat saya lupakan," katanya.

Rakannya, Mohd Hafzan Fuad,8, berkata, dia akan belajar bersungguh-sungguh bagi membolehkannya membeli motosikal berkuasa tinggi apabila dewasa kelak.

"Saya memang minat pada motosikal berkuasa tinggi dan saya akan berusaha sehingga cita-cita saya tercapai suatu hari nanti. Hari ini saya teruja apabila melihat motosikal besar secara dekat," katanya.

Pengerusi KPSH, Anuar Abu Kassim berkata, sejak ditubuhkan pada 2016 ahli kelab sememangnya aktif dalam kegiatan amal sebagai sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

"Dalam program amal sebegini kita yakin ahli dapat mengambil iktibar supaya bersyukur dengan nikmat yang ada dan berkongsi pula dengan mereka yang memerlukan.

"Sebelum ini program begini hanya dilakukan di sekitar Pulau Pinang dan menjadi harapan kami yang bertandang ke sini supaya dapat membawa detik keriangan kepada semua anak yatim dan miskin di sini," katanya.

Pada akhir majlis, Anuar menyerahkan cek bernilai RM5,000 kepada Penyelia RNK, Normaizan Azizan sebagai sumbangan amal untuk kegunaan membeli barangan makanan kepada penghuni.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 10:17pm
d