mutakhir

Sudah-sudahlah main basikal lajak dik....

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

 

EMPAT remaja lelaki ditahan selepas didapati menunggang basikal lajak di kawasan perumahan Persiaran Meranti Sri Damansara 13, berhampiran jambatan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Petaling Jaya, kira-kira 3 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam sebelum operasi dijalankan di kawasan itu.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan empat remaja lelaki berusia antara 14 hingga 15 tahun bersama basikal lajak masing-masing.

"Semua remaja itu masih bersekolah di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kepong, Kuala Lumpur," katanya.

Mohd Zani berkata, empat basikal lajak milik pelajar berkenaan dirampas dalam operasi itu.

"Kami sudah mengambil keterangan daripada semua suspek dan penjaga mereka.

"Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap suspek mengikut Peraturan 42 (1) (B) LN166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan," katanya.

 

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 10:44am
d