mutakhir

Doakan Wak Syukri segera ditemui

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

WARGA emas, 72, dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Parit Lapis Bangas Laut, Sri Medan, Batu Pahat, Johor 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, Syukri Masran @ Maseran disedari hilang 8 malam oleh keluarganya selepas tidak pulang ke rumah.

“Anaknya cuba menghubungi mangsa melalui telefon bimbit namun tiada jawapan. Dia kemudiannya mendapatkan bantuan penduduk kampung selain menghubungi Balai Polis Seri Medan.

“Pada 8.20 malam, anggota Balai Polis Sri Medan dibantu enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng selain penduduk kampung memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya hari ini.

Menurut beliau, operasi SAR turut menggunakan dua bot penduduk dan sebuah bot bomba.

“Pasukan SAR menemui sampan yang digunakan mangsa, ia hanyut kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa memancing.

“Kami turut menemui motosikal, telefon bimbit dan rokok di tempat mangsa memancing,” katanya.

Beliau berkata, mangsa menghidap darah tinggi dan masalah saraf.

“Operasi SAR diteruskan 7.30 pagi hari ini dengan kekuatan 30 anggota bomba, enam anggota polis dan 100 penduduk kampung,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan tiada unsur jenayah.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 11:49am
d