mutakhir

Bancuh dadah resipi YouTube

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Dua lelaki yang ditahan polis kerana disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM1.4 juta dalam serbuan di sebuah pondok yang dijadikan makmal memproses dadah di Jalan Sulaiman dekat Muar, Jumaat lalu, dikatakan mempelajari cara memproses bahan itu melalui YouTube.

Suspek berusia 31 dan 41 tahun itu ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, selepas pemeriksaan dan serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu menemui pelbagai jenis dadah dan peralatan yang digunakan untuk memproses dadah.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 13.44 kilogram serbuk ekstasi, 362.3 gram ketamin, 299.3 gram ganja dan 53 gram syabu.

Beliau berkata, serbuk ekstasi yang ditemui dalam simpanan makmal itu dipercayai boleh menghasilkan 45,000 pil ekstasi.

“Kami mendapati mereka banyak menyimpan serbuk ekstasi yang mana kami percaya ia untuk diproses menjadi pil dan jika satu pil menggunakan 0.3 gram serbuk dadah itu, maka dengan 13.44 kilogram itu, mereka boleh menghasilkan 45,000 pil ekstasi.

“Hasil siasatan awal, kami mendapati dua suspek ini hanya menuntut ilmu menerusi laman video YouTube untuk belajar cara menghasilkan ekstasi ini dan kami masih menyiasat tempoh sindiket ini mula beroperasi,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Mohd Khalil berkata, selain rampasan dadah, polis turut merampas bahan dan peralatan memproses dadah antaranya pelbagai botol berisi cecair bahan kimia dan pewarna selain ketuhar gelombang mikro, alat pengisar, logam pencetak pil dan lampu.

Selain itu, katanya, polis juga menyita kereta Perodua Myvi, Isuzu Trooper, Proton Perdana dan wang tunai RM4,000 yang semuanya bernilai RM54,000.

“Dua suspek kini ditahan reman tujuh hari hingga 26 Januari ini dan kita masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kami juga masih menyiasat dan mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah ini yang dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya.

Menurut Mohd Khalil, hasil semakan, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang juga berkaitan dadah dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 12:27pm
d