mutakhir

[Update] Buat panggilan palsu jatuh jambatan

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

POLIS mengesahkan kejadian suri rumah yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jambatan di Sungai Jengka 15, Maran, petang semalam adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, kejadian kononnya wanita berusia 38 tahun itu terjatuh dari jambatan ketika memancing pada jam 4.15 petang adalah tidak benar dan panggilan palsu itu dibuat seorang daripada ahli keluarga wanita terbabit.

Siasatan awal mendapati, wanita berkenaan sebenarnya cuba membunuh diri di lokasi kejadian dipercayai selepas mengalami masalah dengan suaminya sebelum tindakan itu berjaya dihalang ibunya yang berjaya memujuk wanita berkenaan untuk membatalkan hasratnya.

“€œSelepas dinasihatkan beberapa ahli keluarga lain ibu wanita terbabit kemudian tampil ke Balai Polis Jengka menjelaskan bahawa laporan yang mengatakan mangsa terjatuh ke dalam sungai adalah tidak benar.

“€œSiasatan mendapati wanita berkenaan tinggal bersama ibunya di FELDA Jengka 15 sejak dua bulan lalu manakala suami serta empat anaknya menetap di Raub,”€ katanya ketika dihubungi, di Kuantan, hari ini.

Norzamri berkata, ekoran laporan itu, wanita berkenaan sudah dipanggil ke Balai Polis Jengka untuk diambil keterangan dan membantu siasatan.

Difahamkan wanita terbabit yang meminta anggota keluarganya menghubungi pihak berkuasa mengatakan mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mencari dan menyelamatkan mangsa.

Norzamri berkata, wanita berkenaan kini dalam keadaan trauma dan polis akan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan kaunselor untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 12:27pm
d