mutakhir

Impian jejak kaki di Kidzania tercapai

Oleh HM Digital

Petaling Jaya: “Sejak umur 11 tahun lagi saya memang teringin pergi Kidzania tapi keluarga tak mampu, tak sangka hari ini (semalam) impian itu tercapai,” kata Nur Hazwani Yuzreena Yaakop, 14.

Remaja berkenaan antara 58 penghuni Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa, Putra Perdana Puchong berusia antara empat hingga 19 tahun yang menyertai lawatan sambil belajar Program Titian Kasih Bank Rakyat di Kidzania di sini, semalam.

Menurut Nur Hazwani, program berkenaan memberikannya peluang menjejakkan kaki ke tempat tarikan seperti Kidzania buat kali pertama dalam hidupnya.

“Saya bersyukur jika tidak kerana program ini, mungkin saya tak ada peluang langsung jejak tempat macam ini kerana kami bukan orang senang.

“Ayah saya meninggal dunia kerana sakit jantung dan emak menyara kami tiga beradik dengan hanya bekerja sebagai tukang cuci,” katanya ditemui pada program itu.

Program berkenaan dilaksanakan 44 warga kerja Bank Rakyat yang menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam semester tiga menerusi Program Pengajian Kampus Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia tajaan Yayasan Bank Rakyat.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat Nizam Sani berkata, bersesuaian dengan konsep institusi perbankan berkenaan sebagai bank koperasi Islam penyayang, kerjasama ini adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi peluang kepada penghuni pertubuhan itu merasai keseronokan dunia pekerjaan.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 2:24pm
d