mutakhir

7 anggota Geng Lombok tumpas

Oleh HM Digital

Muar: Tindakan tujuh lelaki dikenali Geng Lombok menyamun kedai runcit di Bukit Pasir di sini, membawa padah apabila mereka ditahan polis selepas aktif menyamun sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian terbaru 15 Januari lalu, polis menerima laporan kes samun daripada mangsa yang juga pembantu kedai runcit warga Bangladesh mendakwa tempat kerjanya dipecah masuk empat lelaki warga Indonesia jam 3 pagi sebelum melarikan lebih 10 barangan di kedai itu.

“Antara barang yang dilarikan termasuk 27 botol syampu, botol pewangi ketiak (15), botol pencuci muka (tiga), ubat gigi (satu), sebotol pelembap kulit dan barangan lain.

“Kami menjalankan siasatan dan apabila diteliti, kami dapati jenayah ini dilakukan kumpulan sama yang menyamun rumah kongsi dan penduduk di sekitar daerah ini.

“Laporan pertama diterima 2 Disember lalu dan terakhir 15 Januari yang mana semua laporan ini membabitkan sembilan kes.

“Lima daripada kes samun disasarkan di rumah kongsi warga asing manakala selebihnya di rumah penduduk tempatan termasuk kedai runcit,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Menurutnya, polis menyerbu rumah sewa di daerah ini pada 17 Januari lalu dan menahan tiga suspek.

“Polis menahan empat suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan rumah kongsi di Bukit Pasir, kelmarin.

“Hasil soal siasat, kami dapati wanita itu tidak terbabit dalam kejadian samun namun ditahan mengikut Akta Imigresen.

“Kami merampas barangan milik suspek dipercayai digunakan untuk samun termasuk dua batang kuku besi, enam parang, dua motosikal, tiga beg galas dan tiga topeng.

“Semua tujuh suspek berusia antara 25 hingga 33 tahun ditahan reman 14 hari bermula tarikh tangkapan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini secara haram,” katanya.

Katanya, polis mengenal pasti suspek yang bebas, seorang warga Indonesia bernama Rizki@Maskom berusia 20-an dan berharap orang ramai yang ada maklumat tampil membantu siasatan.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 2:38pm
d