mutakhir

Maut tak nampak treler rosak

Oleh HM Digital

Slim River: Seorang lelaki maut apabila van dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 90, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh arah utara jam 12.30 tengah malam semalam.

Mangsa, B Subramaniam, 44, yang berasal dari FELDA Trolak Utara, dekat sini, dalam perjalanan pulang dari pekan Slim River sebelum hilang kawalan dan merempuh belakang treler.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan mendapati, sebelum kejadian jam 7 malam, pemandu treler berusia 49 tahun dalam perjalanan dari Bukit Beruntung-Ipoh memberhentikan kenderaan di lorong kanan jalan akibat rosak.

Katanya, pemandu itu memasang kon dan lampu kecemasan di belakang treler sebelum didatangi trak tunda untuk menunda ke bengkel berdekatan.

“Ketika memasang alat untuk menunda tiba-tiba kenderaan dipandu mangsa melanggar kon yang diletakkan sepanjang jalan lalu merempuh belakang treler berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 2:42pm
d