mutakhir

Semenyih dapat sekolah rendah baru [METROTV]

Oleh Idris Musa

SEBUAH sekolah rendah baru iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pelangi Semenyih akan dibina dalam tahun ini bagi memberi kemudahan pendidikan lebih baik dan selesa kepada penduduk di Semenyih, Selangor dan kawasan sekitarnya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika mengumumkan perkara itu berkata, bajet bagi sekolah baru itu membabitkan sejumlah RM31.2 juta dan mempunyai 24 bilik darjah apabila siap kelak.

Beliau juga mencadangkan sebuah sekolah menengah baru untuk dibina iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bukit Mahkota.

"SMK Bandar Bukit Mahkota ini kita masukkan dalam Rolling Plan Ke-4 Rancangan Malaysia Ke-11," katanya pada Program Walkabout ke Sekolah-Sekolah di Daerah Hulu Langat, di SK Bandar Seri Putra, Bangi, hari ini.

Selain itu, beliau bersetuju supaya kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) baru diwujudkan di SK Bangi.

Menurutnya, langkah itu dapat mengatasi kesesakan yang berlaku di SK Bandar Seri Putra.

"Kita akan buka satu lagi (kelas PPKI) di SK Bangi," katanya.

Dalam pada itu beliau juga mengumumkan bantuan peruntukan penyelenggaraan berjumlah RM1.5 juta kepada tujuh sekolah di daerah Hulu Langat yang beliau lawati dalam program berkenaan.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 3:17pm
d