mutakhir

Dapur Rockstarz Burger terbakar

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

DAPUR restoran burger Rockstarz Burger yang popular di Pulau Pinang musnah dalam kebakaran di Sungai Ara, Georgetown, hari ini.

Kebakaran berlaku pada 7 malam ketika lima pekerja restoran berkenaan sedang bertugas menyiapkan masakan dan tempahan pelanggan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Tarmizi Abdul Salam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.32 malam.

Beliau berkata, sepasukan sembilan pegawai dan anggota bomba dari BBP Bayan Baru bersama Pasukan Bomba Sukarela Gertak Sanggul ke lokasi kejadian dan tiba lima minit kemudian.

"Apabila sampai, api marak dan operasi pemadaman dilakukan bagi mengelak merebak ke kedai bersebelahan.

“Api berjaya dikawal pada 7.50 malam dan padam sepenuhnya pada 8.20 malam dan tiada kecederaan dilaporkan.

"Punca kebakaran dan nilai kerugian masih disiasat," katanya.

Sementara itu, pemilik restoran Saiful Danial Amirnudin, 28, berkata ketika kejadian dia baru sahaja keluar dari kedai untuk pulang ke rumah.

Menurutnya, sejurus sampai di rumah seorang daripada pekerja menelefon memberitahu restoran terbakar dan terus bergegas untuk melihat keadaan kedai.

"Apabila sampai, api sedang marak dan beberapa pekerja melakukan pemadaman api menggunakan alat pemadam api sementara menunggu bomba tiba.

“Tindakan pantas pekerja dan bomba berjaya mengawal kebakaran biarpun pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan bahagian dapur sepenuhnya.

“Saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana rumah kedai milik abang di tingkat atas tidak terbakar selain keluarganya terselamat," katanya.

Beliau berkata, tiga anak abangnya dan kakak ipar yang berada di tingkat atas berjaya turun dari rumah dengan selamat.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 10:43pm
d