mutakhir

200 hektar tanam jagung

Oleh Norizzah Baharudin

Melaka: Kerajaan negeri menyasar membangunkan tanah seluas 200 hektar bagi projek penanaman jagung bijian pada tahun ini bagi mengurangkan kebergantungan import bahan makanan ternakan itu setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, pihaknya menerusi Jabatan Pertanian negeri mengalu-alukan usahawan tani untuk menceburkan diri dalam penanaman jagung berkenaan.

“Saya meminta Jabatan Pertanian negeri dan Unit Perancang Ekonomi negeri berbincang untuk mengenal pasti mana-mana kawasan tanah yang boleh dimanfaatkan untuk projek penanaman jagung bijian bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Sebagai permulaan, saya cadangkan mana-mana usahawan tani untuk mengusahakannya di atas tanah seluas empat hektar,” katanya selepas menyempurnakan penuaian jagung bijian pertama di Melaka di Kampung Gapam, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian negeri Rusdan Abdul Talib.

Katanya, usaha terbabit diteruskan menerusi Pelan Pembangunan Jagung Bijian bermula 2016-2020 berikutan kadar import jagung bijian yang mencapai empat juta tan metrik, iaitu pada nilai RM3.1 bilion setahun, dengan kadar kebergantungan import hampir 100 peratus.

“Kami ingin mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan makanan ternakan dan memperbaiki imbangan dagangan agromakanan negara, di samping meningkatkan pendapatan petani dengan maksimumkan penggunaan tanah.

“Selain itu, usaha ini mampu menjamin keselamatan makanan ternakan dalam negara dengan penghasilan yang baik, berikutan mempunyai tanah dan iklim yang sesuai sepanjang tahun serta corak pasaran yang terjamin,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 4:01am
d