mutakhir

Ajal jamuan semester 5

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan 

Seremban: “Arwah tidak sempat mengejar impiannya membuka perniagaan dalam bidang pendawaian kerana Allah lebih sayangkannya dan menjemputnya lebih awal,” kata Afzanul Rizal Abd Rahman, 44, bapa kepada Muhammad Syafiq Izwan, 21, yang maut dalam nahas membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal, kelmarin.

Muhammad Syafiq dan rakannya Mohamad Ashraf Jalaluddin, 21, yang menaiki motosikal Yamaha LC Nouvo meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9 malam di Jalan Mantin-Pajam di depan Kolej Tuanku Ja’afar itu turut mengakibatkan pemandu Honda Accord, Zakaria A Bakar, 59, pemandu Proton Wira Azirul Azam Yusoff, 35, dan penumpang Mahawi Wahab, 33, cedera parah manakala Aizrul Aieris Aiman Abdul Muizz, 10, pula cedera ringan.

Menurut Afzanul Rizal, anaknya dan rakan yang mengambil Diploma Pengurusan Perniagaan dalam perjalanan untuk makan malam bersama pensyarah mereka bagi meraikan tamat semester lima di sebuah restoran di Nilai.

“Ketika kejadian, saya sedang bekerja dan terkejut apabila dihubungi isteri yang berada di rumah di Skudai, Johor, kira-kira jam 10 malam memaklumkan anak kami terbabit kemalangan.

“Lebih mengejutkan apabila pensyarah yang menghubungi isteri memaklumkan Mohd Syafiq meninggal dunia. Kami kemudian segera ke HTJ dan tiba pada jam 3.30 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di HTJ di sini, semalam.

Katanya, dia dan keluarga reda dengan kematian anak sulung daripada empat beradik itu sebelum sempat mengejar cita-citanya.

Selain itu, bapa kepada Mohamad Ashraf, Jalaluddin Abdul Rahman, 46, berkata, anaknya ada pulang ke rumah di Kajang, Selangor, Sabtu lalu sebelum kembali semula ke kolejnya pada Ahad lalu.

“Saya tidak nampak perubahan arwah, malah pemergiannya begitu mengejutkan kami sekeluarga. Arwah adalah anak sulung daripada dua beradik dan pandai berdikari.

“Sejak mendapat lesen memandu penuh, saya menyimpan lesen memandu P miliknya dalam dompet sebagai kenangan dan akan terus menyimpannya buat selama-lamanya,” katanya.

Menurutnya, jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Kantan, Kajang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, berdasarkan siasatan awal, Honda Accord yang datang dari arah Beranang ke Mantin dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Wira serta motosikal mangsa.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 4:22am
d