mutakhir

Pisau di pinggang

Oleh Rosliza Mohamed dan Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Lapan tahun bekerja, jurupam stesen minyak di Kampung Belukar, Wakaf Bharu di sini, tidak pernah berasa terancam sehinggalah kelmarin apabila diacukan pisau di pinggang.

Dalam kejadian jam 9.05 malam itu, Maheran Hasyim, 33, diacukan pisau oleh dua lelaki menunggang motosikal Honda Wave yang mahu menyamun wang tunai RM50 dipegangnya.

Ketika itu, Maheran baru selesai melayani lelaki terbabit yang mengisi minyak bernilai RM5 di pam berdekatan.

Katanya, dia hanya mengingati mati apabila lelaki itu mendekatinya dari belakang sejurus selesai mengisi minyak dan mengacukan pisau.

“Selesai mengisi minyak, seorang daripada lelaki itu mengacukan pisau tanpa bersuara dan seolah-olah hendak merampas wang yang saya pegang di tangan dianggarkan RM50.

“Kami bergelut sebelum jatuh dan menjerit meminta tolong. Rakan sekerja yang melihat kejadian turut menjerit dan terkejut dengan jeritan itu, mereka memecut motosikal melarikan diri,” katanya di sini, semalam.

Maheran berkata, ketika kejadian terdapat dua rakannya dan seorang warga emas lelaki mengisi minyak, namun tidak sempat berbuat apa-apa kerana panik serta terkejut.

Katanya, dia bersyukur tidak cedera dan kejadian itu pertama kali berlaku sepanjang lapan tahun bekerja di situ.

“Saya memang takut dan pada masa sama sangat bersyukur kerana tidak cedera walaupun diacukan pisau beberapa kali.

“Duit pelanggan (isi minyak) biasanya saya serahkan kepada majikan secepat mungkin dan jarang saya pegang banyak. Tapi semalam (kelmarin) mereka datang sebelum sempat diserahkan.

“Lagipun waktu operasi hampir tamat dah kami biasanya tutup sekitar jam 10.45 malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, suspek dipercayai berusia 20-an menunggang motosikal Honda Wave ke arah Kampung Delima, sejurus kejadian.

Katanya, mereka tidak sempat mengambil wang tunai berkenaan serta meninggalkan pisau dan beg galas kecil.

“Kami giat memburu mereka. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 4:49am
d