mutakhir

PATI Filipina ditahan PPM

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SEMBILAN pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan berhampiran jeti Sungai Luboh, Batu 10, Sandakan di sini, semalam ketika cuba memasuki negara ini.

Pada kejadian 10.10 malam, warga asing ditahan membabitkan lapan lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 55 tahun.

Dua daripada mereka ditahan dalam sebuah bot laju manakala bakinya diberkas ketika bersembunyi di hutan paya bakau berhampiran.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata, operasi dijalankan hasil maklumat awam serta risikan.

“Kami memeriksa lokasi itu dan mendapati dua bot laju dari arah kuala sungai berkenaan dalam perjalanan menghala ke jeti terbabit.

“Kami menghampiri bot itu untuk melakukan pemeriksaan tetapi ia dipecut ke arah paya bakau.

“Bot terbabit gagal dikesan. Bagaimanapun, sebuah bot laju dapat ditahan,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, tekong bot terbabit pula dapat melarikan diri.

“Selain warga asing, kami turut menyita bot serta enjinnya bernilai RM35,000. Ia dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk siasatan lanjut.

“Warga asing itu mengaku berasal dari Basilan dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 12:29pm
d