mutakhir

Pusat tahfiz Perlis ikut spesifikasi bomba

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PUSAT tahfiz di Perlis akan mengikut spesifikasi aspek keselamatan bangunan yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepenuhnya menjelang Mac ini.

Pengarah JBPM Perlis Mohd Fadzil Harun berkata, sebahagian pusat tahfiz negeri ini sudah mengikutinya selepas pemeriksaan yang dijalankan tahun lalu.

“Sehingga kini, enam daripada 15 pusat tahfiz sudah lulus sepenuhnya selepas melalui pemeriksaan aspek keselamatan kebakaran oleh JBPM negeri dan penyelenggaraan bangunan oleh GiatMARA.

“Manakala selebihnya, sedang dalam proses pemasangan alat pengesan asap dan haba selepas mendapat khidmat nasihat JBPM selain turut menambah alat pemadam api pada bangunan asrama serta kelas harian,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan JBPM Perlis di Ibu Pejabat JBPM Perlis hari ini.

Mohd Fadzil berkata, setakat ini, punca utama beberapa pusat tahfiz atau pengajian agama di negeri ini tidak lulus ujian aspek keselamatan adalah berkaitan ciri binaan bangunan yang tidak menepati piawaian.

“Ada pusat tahfiz yang menggunakan bangunan wakaf oleh masyarakat setempat untuk digunakan sebagai pusat pengajian agama. Kita tidak nafikan pembinaannya tidak mengikuti pelan aspek keselamatan bangunan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, selepas mendapat khidmat nasihat JBPM, pengurusan pusat berkenaan memandang positif perkara ini dan berusaha mematuhinya seperti membina bangunan konkrit yang lebih kukuh dan mewujudkan laluan keselamatan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sedang giat menubuhkan skuad bomba di 15 pusat tahfiz berkenaan.

“Skuad bomba di pusat tahfiz lebih kepada kumpulan awal yang bertindak sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan tahun ini kita memfokuskan kewujudannya di setiap pusat tahfiz supaya kadar kemalangan dapat diminimumkan sementara menunggu JBPM tiba di lokasi,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, statistik panggilan kecemasan tahun lalu menurun 47.6 peratus apabila hanya mencatatkan 765 panggilan berbanding 2016 iaitu 1,459 panggilan.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 1:39pm
d