mutakhir

Pencuri dipenjara 30 bulan

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

BURUH dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, terhadap pertuduhan pecah rumah dengan niat mencuri di sebuah rumah, Disember lalu.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Mohamad Khairul Amiza Mohd Adenan, 28, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas melakukan kesalahan jenayah pecah rumah milik, Rusiah Ali, 58, dengan niat mencuri di Kampung Dendang, Ketereh, pada 6 pagi, 18 Disember 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda.

Terdahulu tertuduh merayu supaya mahkamah mengurangkan hukuman penjara kerana mempunyai dua anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fazliyana Ahmad memohon satu hukuman berat dan setimpal untuk memberi pengajaran.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Disember 2017.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 7:11pm
d