mutakhir

Tiada kemalangan jiwa

Oleh Norizuan Shamsuddin

PENGHUNI kondominium di Jalan Desa Utama, Kuala Lumpur, gempar apabila kren digunakan bagi mengangkat batu di tapak pembinaan bersebelahan bangunan kediaman mereka tumbang, hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada 2.31 petang.

Katanya, lapan pegawai dan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh dikerahkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.

"Apabila tiba di lokasi anggota mendapati kren digunakan bagi mengangkat batu di tapak pembinaan tumbang.

"Siasatan awal mendapati kejadian tidak mencederakan mangsa dan anggota melakukan pemeriksaan bagi memastikan lokasi selamat untuk orang awam," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan kren terbabit turut menghempap pokok dan pondok di kawasan kondominium berkenaan.

Manakala, kerja mengangkat kren berkenaan akan dilakukan oleh pengurusan tapak pembinaan terbabit.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 11:50pm
d