mutakhir

Ajal langgar tembok

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang juruteknik yang bertugas di sebuah syarikat penyedia perkhidmatan televisyen satelit maut selepas Perodua Viva dipandu melanggar tembok jambatan di Jalan Batu Berendam di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, mangsa, Ng Meng Chian, 41, berasal dari Tangkak, Johor memandu kereta Perodua Viva dari arah Pengkalan Batu menghala ke persimpangan lampu isyarat Melaka Baru.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Ketika sampai di lokasi, Perodua Viva itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok jambatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 4:48am
d